Semanis Ukhuwwah

Saturday, July 17, 2010

Kepimpinan, Amanah Yang Akan Dipersoakan Di Akhirat Kelak



Apabila kita memperkatakan berkenaan soal kepimpinan sebagai amanah, maka tidak dapat tidak kita harus memperkatakan berkenaan amanah pertama yang diamanahkan oleh allah kepada manusia di muka bumi ini iaitu sebagaimana yang dijelaskan dalam al-quran:


Firman Allah taala yang bermaksud :
"Sesungguhnya kami telah mengemukakan amanah kepada langit,bumi dan gunung-ganang. Semuanya enggan untuk memikul amanah itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya dan dipikulnya amanah itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia amat zalim dan amat jahil." (Al-Ahzab : ayat 72 ).


Di dalam ayat di atas jelas menunjukkan kepada kita bahawa sesuatu tanggungjawab yang ditaklifkan adalah sesuatu bebanan yang berat sehingga tidak mampu dipikul oleh makhluk lain melainkan manusia yang sesuai dengan sifat mereka yang amat zalim dan jahil. Di samping itu juga, tanggungjawab terletak pada semua manusia,tidak kira sama ada pada lelaki atau pun perempuan kerana nabi bersabda :-


"Setiap seorang dari kamu adalah pengawal (pemimpin) yang bertanggungjawab terhadap rakyatnya (orang di bawah peliharaannya).Seorang lelaki adalah sebagai pelindung kepada ahli rumahnya dan bertanggungjawab terhadap tanggungannya. Perempuan di rumah suaminya adalah penjaga dan bertanggungjawab terhadap tanggungannya,begitu juga seorang khadam pemelihara harta tuannya dan bertanggungjawab terhadap jagaan di bawahnya." ( Al-Bukhari )


Dalam ayat dan hadis yang telah dibacakan tadi menerangkan kepada kita bahawa tanggungjawab yang dipikul bukan sahaja terletak pada pihak tertentu,bahkan ianya terletak pada semua manusia. Ianya menjadi satu tugas daripada Allah taala kepada hambaNya. Bebanan ini menjadi tanggungjawab sepanjang kehidupan kita bermula kita baligh sehingga Allah taala menarik kembali tanggungjawab tersebut. Pengtaklifan yang dianugerahkan ini adalah untuk menguji hambaNya,sejauh mana hambaNya beriman dan kepercayaan terhadapNya. Kerana kadang-kadang manusia mengaku beriman sedangkan mereka masih belum diuji oleh Allah taala.


Apabila kita menyebut tanggungjawab,ianya adalah amanah daripada Allah taala,pelbagai amanah yang akan dipikul oleh manusia ketika mana hidup di dunia Allah taala ini. Amanah akan wujud di merata tempat,tidak kira sama ada diperingkat sekolah,keluarga,masyarakat kampung,negeri atau pun negara. Setiap amanah ini akan menjadi persoalan di sisi Allah taala,kerana manusia tidak dapat lari dari memikul sebarang amanah dari Allah taala.



Pemimpin diperingkat organisasi sekolah atau universiti,amat diperlukan kerana ianya berfungsi melatih para pelajar mengenal dunia kepimpinan dan belajar memimpin sekelompok masyarakat yang memerlukan kepada pendorong dan pertolongan daripada seorang pemimpinnya. Organisasi diperingkat sekolah atau universiti mengajar kita erti kehidupan sebenar di dunia ini.


Banyak cabaran dan dugaan yang sedang menanti kita. Di dalam organisasi inilah memberi tunjuk ajar kepada kita macam mana cara untuk menangani sesuatu masalah yang ditimpa,disamping itu juga ianya akan lebih mematangkan kita,kerana masalah yang kita hadapi mengajar kita sifat bersabar dan membuat kita mampu untuk menangani masalah dengan genius.


Apabila terlibat dengan mana-mana persatuan,kita tidak akan terlepas daripada menghadapi sebarang kemungkinan masalah. Masalah yang dihadapi datang daripada pelbagai sudut,sama ada datang daripada diri sendiri mahu pun daripada masyarakat bawahan kita.Ini adalah ujian dan dugaan yang tidak dapat tidak mesti dihadapi oleh seorang yang bergelar pemimpin.


Tugas menjadi pimpinan ini adalah pengtaklifan daripada Allah taala. Allah taala telah menentukannya,walaupun kadang-kadang kita tidak menyangka bahawa tugas ini akan kita pikul,akan tetapi ianya sudah ditetapkan di "Maqadir".Sesungguhnya Allah taala tidak akan mengtaklifkan kepada mereka yang tidak mampu untuk memikul amanah ini,bahkan Allah taala akan mengtaklifkan kepada mereka yang mampu dan layak untuk memikulnya.


Di dalam urusan melantik pemegang jawatan-jawatan sebagai amanah yang dipertanggungjawabkan adalah sabit dari beberapa buah hadis:-


Daripada Abu Zarr katanya : "Suatu hari saya berkata kepada Rasulullah : tidakkah junjungan bercadang melantik saya?"Jawabnya sambil meletakkan tangannya ke atas bahuku : Wahai Abu Zarr,sebenarnya engkau seorang yang lemah,sedangkan jawatan itu suatu amanah. Di hari kiamat dia akan membawa malu dan penyesalan kecuali orang yang mempunyai kemampuan dan menyempurnakan tanggungjawab dengan sempurna." (Muslim)


Kemampuan ilmiah dan amaliah bukannya terletak pada semua manusia,bahkan ianya terletak pada sesetengah manusia yang dipilih oleh Allah taala. Mereka yang mempunyai iman yang kuat,baik akhlaknya dan mulia akan tetapi tidak mempunyai kelayakan untuk memegang jawatan-jawatan dan menjalani tugas dengan sempurna.


Sebagaimana yang berlaku ke atas nabi Yusuf a.s,baginda menawarkan diri bagi menguruskan hal ehwal kewangan negara Mesir,bukannya di atas sebab kenabian dan ketakwaan baginda bahkan di atas kemampuan baginda mengawal dan menguruskan hal ehwal kewangan.


Firman Allah taala yang menceritakan kata-kata nabi Yusuf kepada raja Mesir yang bermaksud :-

"Lantiklah saya mentadbir khazanah negara kerana saya boleh mengawal dan mempunyai pengetahuan" (Surah Yusuf : ayat 55)


Jelas kepada kita bahawa tugas memimpin masyarakat umumnya telah terletak pada semua manusia. Ada di kalangan mereka yang Allah taala mengtaklifkan menjaga keluarga sahaja dan pelbagai lagi amanah lain. Akan tetapi tugas menjaga keluarga,seperti kelazimannya terletak pada kaum lelaki. Kerana kaum lelaki yang mendirikan rumah tangga tidak dapat tidak akan menerima tanggungjawab daripada Allah taala.


Tanggungjawab terhadap isteri,tanggungjawab terhadap anak-anak dan seluruhnya. Sesuatu yang berlaku ke atas keluarga,kaum lelakilah yang akan dipersoalkan oleh Allah taala pada hari kiamat kelak. Apa yang kita lihat ini adalah tanggungjawab diperingkat keluarga,dan kepada mereka yang mempunyai tanggungjawab dan amanah diperingkat yang lebih tinggi bagaimana pula?


Mereka ini mempunyai tanggungjawab yang lebih besar. Setelah diuji dengan memikul tanggungjawab berkeluarga,mereka juga diuji dengan memikul tanggungjawab untuk masyarakat sama ada kampung,negeri dan negara. Sebab itu,pengtaklifan daripada Allah taala hanyalah kepada mereka yang mampu sahaja dalam menguruskan tugas-tugas pemegang jawatan-jawatan.


Amanah berkehendakkan kepada sebaik-baik dan selayak-layak calon untuk memegang sesuatu jawatan. Seandainya kita mengetepikan syarat-syarat ini,kerana pilih kasih dan kerana hubungan kaum kerabat,nescaya kita melakukan perbuatan yang tercela.


Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :-
"Barang siapa melantik seorang untuk mengetuai suatu kumpulan sedangkan ada seorang lain yang lebih berhak dan layak daripada nya di sisi Allah taala(mempunyai sifat-sifat yang diredhai Allah)sesungguhnya ia telah mengkhianati Allah dan Rasulnya serta orang-orang mukmin seluruhnya."


Sabda Rasulullah s.a.w lagi yang bermaksud :-

"Barang siapa yang memegang satu-satu kuasa atau urusan orang Islam kemudian ia melantik seorang ketua ke atas mereka berdasarkan pilih kasih maka balasannya ialah laknat Allah,tidak diterima sebarang galang ganti baginya sehingga dimasukkan dia ke dalam neraka jahanam."


Sesungguhnya tanggungjawab dan amanah yang dipikul sebagai seorang pemimpin kelompok masyarakat yang besar telah ditugaskan kepada mereka yang mampu dan layak di sisi Allah taala sahaja. Ianya sudah menjadi ketentuan daripada Allah taala. Barang siapa yang ditaklifkan dengan tugas ini,maka secara langsung mereka mempunyai tugas yang amat besar dan setiap tugas mereka itu akan menjadi persoalan kepada Allah taala.


Namun begitu,kita jangan lupa bahawa pemimpin memang diperlukan,kerana pemimpin adalah penunjuk dan pembawa masyarakat bawahannya. Sekira mana masyarakat bawahannya berada di jalan yang salah maka pemimpinlah yang akan membantu mereka. Maka ganjaran yang amat besar di sisi Allah taala jikalau pemimpin amanah dengan tugasnya dan ikhlas kerana Allah taala.


Ingatlah bahawa sifat amanah kepada seseorang amat penting,setiap amanah dan tanggungjawab yang kita pikul hendaklah dijaga dengan baik dan jangan menyerahkan amanah yang dipikulkan kepada kita,kepada mereka yang bukan selayaknya untuk memikul amanah tersebut. Kerana sunnah Rasulullah s.a.w memperingatkan kepada kita bahawa yang demikian adalah menjadi tanda-tanda kerosakan yang akan timbul di akhir zaman.


Pada suatu hari datang seorang lelaki bertanyakan Rasulullah s.a.w :-
"Bilakah akan berlaku kiamat?"Jawab Rasulullah : "Apabila sifat amanah telah hilang maka tunggulah kiamat." ujar orang itu :"Bagaimana cara ia dihilangkan?" Jawab Nabi : "Apabila sesuatu urusan itu diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya (tidak layak) maka tunggulah kiamat."


Maka setiap amanah yang ditaklifkan,laksanakanlah ianya dengan baik. Lakukan dengan sedaya upaya,sekadar kemampuan yang dianugerahkan oleh Ilahi kepada kita. Setiap mereka yang bergelar pimpinan pasti akan ada manah dan ujian. Hadapilah ujian dengan ketenangan dan ketabahan yang dimiliki. Dan Allah taala adalah sebaik-baik tempat untuk mengadu,kepadaNya kita berserah dan kepadaNya kita memohon pertolongan.


Firman Allah taala yang bermaksud :-
"Supaya Allah taala menyeksa orang-orang munafik lelaki dan perempuan,orang-orang musyrikin lelaki dan perempuan dan Allah taala menerima taubat orang-orang mukminin lelaki dan perempuan. Allah taala adalah maha pengampun dan maha penyayang"


Tambahan : Buat sahabat kepimpinan, gunakan masa yang berbaki sebelum menjelangnya Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Pmram cwgn Mansurah dengan sebaiknya. Sumbangkan bakti dan taburlah jasa kalian pada PMRAM Pusat dan Cawangan sebelum pulang ke tanah air. Ambillah peluang untuk belajar dan relakanlah diri untuk ditarbiyah dan mentarbiyah apabila terlibat dalam perjuangan. "Hidup ini adalah keyakinan dan perjuangan. Perjuangan mukmin yang sejati tak akan behenti sehinggalah kedua kainya menginjak pintu syurga"..Moga kita semua istiqamah di jalan ini..Ameen 


Sekian,
SATU FIKRAH SATU AMAL
PMRAM cawangan MANSURAH
-Fadhilah Esa-

No comments:

Related Posts with Thumbnails

:: Seuntai Madah ::

Blog

Blog