Semanis Ukhuwwah

Monday, August 16, 2010

LAPORAN KEKAL ‘10 (BAHAGIAN SISWI)


Banner yg ana sempat desingn=)
 
Berpadulah kita di bawah satu kata,seerat ikatan rumpun di dalam genggaman,PMRAM takkan hilang ditelan arus zaman,kita kan bersama mengharungi cabaran.Ketika kita berjuang jangan futur jangan gentar,yakinlah ‘inayahNYA...pastikan kunjung tiba...BERSATUlah kita..’
-alunan lagu mengikut rentak KCB-

-31 JULAI 2010 -
“Sungai Nil yang sangat pemurah,
anggur pic jagung ambil faedah,
senja ini kami ke Kaherah,
PMHK KEKAL ’10 medan berukhuwwah”

Demi menyahut sahutan gema “bersatunya hati”, RATU MANSURAH mengorak langkah penuh wibawa bertolak menuju ke Kaherah dengan menaiki sebuah coster untuk sama-sama menyertai PMHK (KEKAL ‘10). Sejurus tiba di penempatan yang disediakan, para kontinjen terus membuat persiapan untuk menghadapi slot-slot pertandingan seperti membuat sepanduk, persiapan perbarisan dan latihan nasyid.
1 OGOS 2010 - Dengan bertemakan warna hijau dan bermaskotkan rama-rama, RATU MANSURAH mengatur langkah seawal pagi menuju ke Nadi Musallas, Hayyu ’Asyir untuk menyertai Majlis Perasmian KEKAL’10 di peringkat siswi. Majlis perasmian ini dimulai dengan perbarisan kesemua kontinjen dan diserikan dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran yang dialunkankan oleh Ustazah Siti Habibah binti Ibrahim, mahasiswi Qiraat tahun akhir Mansurah. Seterusnya majlis ini dirasmikan oleh Penasihat Hewi PMRAM,Ustazah Izzati Farhana binti Mahadzir.

Program yang bermula jam 9.30 pagi itu menyaksikan 12 kontinjen kesemuanya yang akan menggegarkan Nadi Musallas dengan aksi dan sorakan semangat pasukan yang ditunjukkan. Mereka yang hadir ke Majlis Perasmian KEKAL ’10 bahagian siswi pasti teruja dengan persembahan senaman aerobik yang dipersembahkan oleh barisan HEWI PMRAM diikuti para kontinjen. Bukan sekadar itu,persembahan silat yang dipersembahkan oleh srikandi silat Mansurah turut mencorakkan suasana yang menggembirakan dalam majlis berkenaan.


Sukaneka sesi pertama yang bermula sekitar pukul 10.00 pagi diisi dengan pelbagai sukaneka dan permainan. Acara sukaneka tersebut yang menyaksikan kesemua kontinjen terlibat dimeriahkan lagi dengan penglibatan HEWI angkat setiap BKAN dan Cawangan PMRAM.


Bagi acara sukaneka, RATU MANSURAH menghantar wakil bagi kesemua pertandingan dan telah menyandang johan bagi acara “we are badang” dan “dadu gergasi”. Sorakan demi sorakan padu dari penyokong Mansurah menggamatkan lagi kemeriahan suasana sukaneka pada hari itu. Kehadiran Raja Mansurah,adik Ahmad Miqdad dan Hewi angkat Mansurah,Ustazah Nadianabila binti Zainuddin turut memeriahkan sorakan kontinjen Mansurah. Acara sukaneka berakhir pada petang itu dengan acara “change it” iaitu menggubah buah tin dan buah jambu.

Pada sesi malam pula, RATU MANSURAH tidak ketinggalan dalam menyertai Majlis Perasmian KEKAL’10 dan menhantar 10 orang wakil untuk mengambil dalam acara perbarisan kontinjen-kontinjen PMRAM cawangan. Majlis ini diadakan di Dataran Hayyu ‘Asyir dan dirasmikan oleh Kuasa Usaha Sementara En. Shaiful Anuar Muhammad.

2 OGOS 2010 - “Semangat juang berkobar-kobar,diimpi nikmat syurga idaman,terpatri cinta kasihkan Islam,demimu ku pasrahkan….PMRAM!”. Berbekalkan semangat juang yang jitu, RATU MANSURAH terus mengorak langkah dengan menghantar wakil untuk acara dewan iaitu debat ala parlimen,berbalas pantun,dam aji,win lost and draw,video promo,rekacipta syaqah,musang berjanggut dan lain-lain lagi. Bagi acara debat dan pantun Ratu Mansurah berjaya meneruskan perjuangan mereka ke peringkat final yang akan berlangsung pada hari ketiga dan kontinjen Mansurah berjaya merangkul johan dalam acara dam aji ,video promo kontinjen dan rekacipta syaqah PMRAM.

3 OGOS 2010 - KEKAL’10 diteruskan lagi dengan acara debat ala parlimen pusingan akhir yang
menampilkan perdebatan sengit antara kontinjen Mansurah dan kontinjen Selangor manakala bagi acara membalas pantun menemukan Mansurah dan Pulau Pinang. Kedua-dua acara ini mendapat sambutan hangat daripada semua ahli ketika melihat gelagat para peserta yang mencuit hati. Adat bertanding ada kalah dan menang,bagi acara debat ala parlimen, kontinjen Mansurah tewas kepada kontinjen Selangor dan bagi acara membalas pantun, kontinjen Mansurah mendapat tempat ketiga.
4 OGOS 2010 - Hari yang ditunggu-tunggu telah tiba,acara kemuncak KEKAL ‘10 bahagian siswi iaitu pertandingan nasyid telah menampilkan sebanyak 11 kontinjen bagi mempersembahkan bakat-bakat seni yang terpendam. Pelbagai aksi menarik telah dipersembahkan oleh para peserta yang mana telah mengeratkan lagi ukhuwwah sesama ahli PMRAM samada di BKAN dan DPM. Bertemakan “PMRAM di hati kami” dan “Malaysia Oh Tercinta”, Ratu Mansurah mempersembahkan nasyidnya dengan semangat patriotik dan cintakan PMRAM yang diterjemahkan melalui lirik dan gaya persembahan yang telah memukau hati para pengadil dan para penonton.

Sejurus selepas solat asar, berlangsunglah Majlis Penutup KEKAL’10 peringkat siswi yang dirasmikan oleh Timbalan Pengerusi Hewi PMRAM,Ustazah Nor Hafiza Abdul Wahab. Selesai majlis penutup disusuli pula majlis penyampaian hadiah. Kontinjen Mansurah dinobatkan sebagai johan acara nasyid KEKAL ‘10 dan bagi acara dewan keseluruhan Mansurah turut meraih johan. Dengan memperoleh markah 176, Mansurah telah meraih naib johan bagi kontinjen terbaik manakala Iskandariah mendapat tempat pertama dengan memperoleh markah sebanyak 186. Majlis ini diserikan lagi dengan persembahan boria dari kontinjen Pulau Pinang dan Mansurah diminta untuk mempersembahkan nasyid buat kali kedua sekaligus menutup tirai KEKAL’10 bagi peringkat siswi.

Sekalung penghargaan dan terima kasih kepada semua ahli Mansurah kerana telah memberikan kerjasama dan sokongan kepada program ini .Alhamdulillah KEKAL ‘10 kali ini telah meninggalkan 1001 kenangan dan semangat juang untuk bekerja demi ISLAM.

Sekian, terima kasih

Disediakan oleh,
HEWI PMRAM cawangan Mansurah,
Pejabat HEWI PMRAM caw Mansurah
8 Ogos 2010
9:44pm 

-http://dpm-mansoura.blogspot.com/
Related Posts with Thumbnails

:: Seuntai Madah ::

Blog

Blog