Semanis Ukhuwwah

Wednesday, May 19, 2010

Rahsia Tidur dan Solat Tahajjud

Umumnya orang beranggapan bahwa tidur malam yang baik memerlukan waktu sekitar 6 – 8 jam sehari. Tetapi ketahuilah bahawasanya pendapat ini ditentang oleh para saintis Barat seperti Dr. Ray Meddis, seorang profesor di Department of Human Sciences, England University of Technology yang mengatakan bahawa manusia sebenarnya hanya perlu tidur malam selama 3 JAM.
Waktu tidur biasanya dikenali dalam dua jenis, iaitu tidur ayam dan tidur lelap. Mimpi biasanya terjadi pada tidur lelap (deep sleep). Manusia perlu berlatih untuk biasakan tidur lelap karena tidur ayam adalah masa berangan-angan yang sebenarnya hanya membuang waktu saja. Tidur yang sebenarnya ialah ketika tidur lelap berdasarkan kajian saintis Barat, iaitu cukup selama 3 JAM. Kita merasakan bahawa tidur malam kita selalu tidak cukup. Hal ini disebabkan kita tidak terlatih atau mengikuti aturan yang benar ketika kita tidur. Apabila seseorang atlit misalnya, ketika hendak bertanding dalam acara 100M lumba lari maka dia akan berlatih mungkin sekitar setahun sebelum perlumbaan itu dimulakan. Dengan demikian dia berharap untuk menjadi juara. Demikian juga dengan kita, harus melatih diri kita tidur sesuai dengan aturan yang baik.
Menurut kajian ahli perubatan Barat, sebelum kita pergi tidur, kita akan merasa mengantuk (drowsiness) di mana suhu badan kita akan menurun. Dengan mengatur waktu tidur dan menggunakan termometer kita boleh melatih diri kita untuk tidur apabila perlu. Tidur yang teratur dapat mengefektifkan waktu kita terutama untuk beribadah di malam hari serta mengerjakan hal-hal lain. Di dalam Al-Quran disebutkan ada segolongan manusia yang masuk syurga karena ibadah malamnya dan kurang tidur malam. Firman Allah dalam Al-Quran yang bermaksud :
“Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa ada di dalam syurga dan dekat dengan air yang mengalir. Sambil mengambil apa yang diberikan oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka sebelum ini di dunia adalah orang-orang yang berbuat baik. Mereka sedikit sekali tidur di waktu malam. Dan di akhir-akhir malam mereka memohon ampun kepada Allah.” (Surah az-Zariat: ayat 15-18)
Rasulullah S.A.W. telah memberikan contoh yang baik bagaimana tidur yang lengkap dengan doa-doanya. Sebagai ringkasan, mungkin kita biasakan latihan untuk tidur malam seperti :
  1. Makan malam sedikit saja. Cukup sekadar alas lapar. Jika kita makan malam yang banyak maka akan menyebabkan kita cepat mengantuk dan susah bangun dari tidur.
  2. Tunaikan solat Isya’ sebelum tidur.
  3. Bersihkan tempat tidur dari kotoran.
  4. Amalkan doa-doa sebelum dan sesudah tidur seperti yang diajarkan Rasulullah S.A.W.
  5. Kurangkan waktu tidur dari 8 jam sehari menjadi 7 jam sehari untuk bulan pertama latihan; pada bulan kedua kurangkan waktu tidur malam menjadi 6 jam sehari, seterusnya pada bulan ketiga menjadi 5 jam sehingga kita boleh tidur untuk waktu 3 jam saja.
Cara bangun tidur juga ada kaedahnya untuk menjaga kesihatan dan menghindarkan diri dari pelbagai penyakit. Umpamanya kita yang suka bangun tidur,lantas terus melompat dari tidurnya, maka berisiko terkena penyakit jantung dan boleh menyebabkan kematian. Demikian menurut pendapat seorang doktor dari China – Dr Huang Guoxiong dari Badan Perubatan Lioning.
PENDAPAT AHLI SASTERA BARAT
Ada juga ahli sastera barat yang menceritakan mengenai pentingnya mengurangkan tidur untuk mencapai kerjaya yang baik. Apabila ditanya apakah rahsia kejayaan mereka? Mereka menjawab: “The woods are lovely, dark and deep but I have promises to keep and miles to go before I sleep.” Maksudnya ” Taman itu indah, gelap dan tebal tetapi saya mempunyai aturan yang harus dilaksanakan terlebih dahulu sebelum saya tidur.”
“The heights by great men reached and kept were not attained by sudden fight. But while their companions sleep were toiling upwards in the night.” – Longfellow. Maksudnya, “Pencapaian kerja yang tinggi oleh orang-orang ternama tidak didapati serta merta tetapi mereka bekerja keras sehingga larut malam pada waktu teman-temannya yang lain sedang nyenyak tidur.” Ini jelas menunjukkan mereka meminimumkan waktu tidur untuk mencapai kejayaan dalam hidup mereka.
RAHSIA SOLAT TAHAJUD
Sekarang kita kembali kepada perbincangan tentang solat tahajud. Apakah kebaikan dan kelebihan yang kita peroleh dari mengerjakan solat tahajud sementara yang lain sedang nyenyak tidur?
Dari sisi logik, mungkin kita tidak mengerti bahwa perintah Allah itu mendatangkan kebaikan. Sesungguhnya solat tahajud meneguhkan iman kita, jiwa kita, mental kita untuk menghadapi masalah hidup duniawi dan lain-lain .
Dari sisi sains perubatan, kita akan menyedut oksigen di atmosfera bumi sekitar jam 3 pagi hingga terbit matahari dan menggerakkan otot-otot di dalam badan kita yang akan menyegarkan badan dan melancarkan aliran darah ditubuh kita. Kedua hal tersebut, iaitu oksigen dan gerakan otot sangat penting bagi kesihatan tubuh manusia. Oksigen akan hilang dari atmosfera bumi selepas matahari terbit dan tidak datang lagi sampai esok pagi. Hanya manusia yang bangun pada waktu ini yang dapat menikmati oksigen tersebut.
MUKJIZAT GERAKAN SOLAT
Cuba kita kaji pergerakan otot-otot kita ketika solat. Secara kasarnya:
  1. Kita berdiri tegak (qiyam) kemudian mengangkat kedua tangan bertakbir dan meletakkan tangan di atas dada – kita telah membesarkan rongga dada kita sehingga paru-paru akan terasa lapang serta menggerakkan otot di kedua belah tangan.
  2. Ketika ruku’ dengan badan membongkok ke depan dan kedua tangan di atas kepala lutut dan punggung mendatar (parallel to the ground) sekaligus menggerakkan ruas-ruas tulang punggung, tulang leher, tulang pinggang dan tulang tungkai.
  3. Ketika sujud, seluruh berat badan tertumpu sepenuhnya di atas otot-otot kedua tangan, kaki, dada, perut, punggung, leher dan otot-otot kaki. Lihat saja pada waktu sujud ini berapa banyak otot dan persendian yang kita gerakkan.
  4. Setelah itu kita bangkit dari sujud. Kita duduk, kemudian kita sujud lagi dan sesudah itu kita berdiri kembali. Dalam gerakan badan kali ini secara automatik kita telah menggerakkan sejumlah besar otot-otot di dada , bahu, lengan, perut, punggung, peha, kaki bagian bawah dan otot-otot lainnya.
  5. Selain itu kita juga melakukan dua jenis duduk – pertama duduk antara dua sujud dan kedua duduk tahiyat. Kedua jenis duduk ini menggerakkan tumit , pangkal paha, selangkangan, jari-jari kaki dan lain-lain.
  6. Ketika kita memberi salam , kita menggerakkan otot-otot leher tengkuk dan lain-lain.
Kalau kita lihat dari dua hal di atas, iaitu menghirup oksigen yang istimewa dan gerakan otot-otot yang semuanya itu sudah tentu akan menyihatkan tubuh kita. Solat tahajud boleh juga menjauhkan penyakit pinggang yang selalu menyerang orang yang banyak tidur dan bangun lewat dari tidur malam.
“Dan pada sebagian malam hari bersembahyang tahajudlah kamu sebagai suatu ibadah tambahan bagimu: mudah-mudahan Tuhan-mu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji.” (Surah al-Isra’; ayat 79)
Sumber : Persatuan Bukan Naqib (PERBUN) KISAS

Istimewanya Tahajjud


Ada satu waktu yang amat ajaib dalam kehidupan seharian kita. Waktu yang menjadi pilihan Tuhan untuk bertamu kepada hambaNYA. Waktu itu, sekiranya ada manusia yang bangun, membersihkan diri dan sujud kepada Pencipta, martabatnya telah diangkat lebih tinggi berbanding manusia lain.

FirmanNya dalam Surah al-Israk ayat 79 bermaksud:
“Dan dari sebahagian malam, hendaklah engkau bangun (tahajud), sebagai amalan tambahan untukmu. Semoga Tuhanmu mengangkat (darjatmu) ke tempat yang terpuji.”
” (Surah An-Nuur: ayat 37)
 
Saat seorang hamba pergi kepada Penciptanya dengan penuh susah-payah melawan kantuk, sebenarnya ia membuka jendela cintaNYA. Waktu tahajud adalah waktu sepertiga malam yang menyaksikan para insan di alam mimpi.  Kala itu, alam suram hanya ditonai bintang dan bulan, manakala kegelapan adalah dunia beristirehat. Waktu beginilah, apabila dahi mencecah sejadah, aura tawadhuk seorang hamba kepada Penciptanya bergelombang kuat. Solat terasa khusyuk tanpa diganggu urusan dunia yang mencengkam di siang hari. Tiada bunyi kebisingan manusia atau kenderaan yang mengacau si pendamba cintaNYA. Tahajud adalah waktu khusus untuk seorang Muslim bertemu dan bercakap-cakap dengan Allah SWT.

Paling Disayangi
Dalam sebuah keluarga misalnya, ibubapa akan menyayangi anak-anaknya secara adil. Namun percayalah, anak yang lebih ringan tulang dan sering berbakti kepada ibubapa dengan ikhlas akan lebih disayangi berbanding anak-anak yang lain. Begitu juga dalam hubungan persahabatan, teman yang mengingati setiap kebaikan kita padanya akan lebih diingati daripada teman yang hanya berkongsi kesenangan kita. Walau bagaimanapun, orang-orang begini tidak seramai orang-orang yang mementingkan diri. Jika kita memiliki mereka, pasti kita menghargai dan menyintainya sebaik mungkin.

Begitu jualah antara makhluk dengan Penciptanya. Allah SWT telah mensyariatkan ibadah wajib kepada manusia untuk dilaksanakan dalam kehidupan. Pada waktu yang sama, Dia juga memberikan peluang kepada manusia yang ingin melakukan ibadah sunat sebagai jalan mendekatkan diri kepadaNYA. Orang yang tidak meninggalkan ibadah wajib dan memperbanyakkan ibadah sunat tidak akan sama kedudukannya dengan orang lain di sisi Allah SWT. Keberkatan akan tercermin dalam kehidupan, sifat mahmudah menghiasi peribadi dan kata-katanya pasti diikuti dan didengari manusia lain. Hal ini terbukti jika kita membaca sirah para nabi, sahabat, tabi’in seterusnya orang-orang soleh di zaman ini.

Istimewa Tahajud
Salah-satu amalan yang tidak pernah ditinggalkan Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian baginda adalah solat sunat Tahajud. Ketika orang lain dibuai mimpi, baginda SAW bangun mengadapNYA dengan rintihan dan tangisan. Apabila ditanya Saidatina Aisyah R.A, mengapa seorang nabi yang pasti dijamin syurga perlu menangis dan merintih lagi, maka Rasulullah SAW menjawab, baginda hanya mahu menjadi hambaNYA yang bersyukur.
Solat sunat Tahajud umpama tol menuju Allah SWT. Baginda SAW telah menyebutkan hikmah tahajud yang bermaksud:
“Setiap dua pertiga malam terakhir, Allah turun ke langit dunia sambil berseru, ‘Hambaku yang malam ini menjauhkan rusuknya dari tempat tidur kerana mendirikan solat tahajud, aku berasa malunya padanya sekiranya aku tidak mengampunkan dosanya. Mengabulkan doanya dan memberikan apa yang mereka minta. Solat sunat yang utama selepas solat fardu adalah solat tahajud.”

Oleh itu, malanglah bagi mereka yang mengetahui hikmah dan kelebihan tahajud tetapi tidak mengamalkannya secara rutin. Umpama, dia menolak hadiah dan anugerah Allah SWT yang mahu dikalungkan ke lehernya.

Terapi Mahasiswa 
Musim mahasiswa disibukkan dengan kuliah dan peperiksaan. Sesetengah mahasiswa turut melibatkan diri dengan aktiviti kampus dan kemasyarakatan. Jangan menjadikan kesibukan anda sebagai alasan untuk meremehkan ibadah sunat terutama tahajud. Berdasarkan pengalaman pelajar-pelajar yang cemerlang, solat sunat tahajud adalah resepi utama mereka.

Dalam temubual personal saya dengan Nik Nur Madihah yang mendapat 20 A( SPM 2008), beliau menyatakan kekuatan utamanya untuk berjaya adalah solat sunat Tahajud. “Ketika bangun di tengah malam, hati saya berasa tenang melepaskan segala tekanan kepada Allah SWT. Tahajud dapat memberikan kita kekuatan jiwa untuk mencapai cita-cita yang disematkan,” katanya.
Saya juga teringat pesanan seorang pendakwah bebas, menurutnya, seorang Mukmin yang terlibat dengan aktiviti keagamaan perlu menjadikan ibadah sunat sebagai rutin wajibnya. Pengamalan ibadahnya tidak boleh sama seperti orang awam lain. “Saudara menyebarkan kalimah Allah, justeru diri saudara perlu dekat dengan Allah. Hanya ibadah sunat seperti Tahajud, Dhuha dan lain-lain dapat mengintimkan lagi hubungan saudara dengan Allah SWT,” pesannya.

Jika tidak kerana pentingnya solat sunat Tahajud, tidaklah Khalifah Salahuddin al-Ayubi memecat tenteranya yang tidak bangun berqiyamulail dalam operasi Perang Salib. Hanya orang-orang yang menjaga hubungannya dengan Allah SWT dapat mencapai matlamat kehidupannya, kerana Allah SWT tidak sesekali mengecewakan harapan hamba yang dicintaiNYA.
“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan (mengerjakan) solat. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyu’,” (Surah Al-Baqarah: ayat 45)
Solat Tiang Agama2
“Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang tunduk patuh (kepada Allah), (iaitu) orang-orang yang apabila disebut nama Allah gementarlah hati mereka, orang-orang yang sabar terhadap apa yang menimpa mereka, orang-orang yang mendirikan solat dan orang-orang yang menafkahkan sebagian dari apa yang telah Kami rezekikan kepada mereka.” (Surah Al-Hajj: ayat 34-35)

Bandingkan
Sekiranya para mahasiswa masih meragui keberkesanan solat sunat Tahajud, ayuhlah anda mulainya sekarang. Jadikan ia latihan bagi melihat perbezaan sebelum dan selepas anda mengamalkannya. Tidak ada dalam sejarah orang yang mengamalkan Tahajud secara ikhlas, hidup mereka susah dan gelisah, sebaliknya, merekalah golongan yang menerima rahmat dan keberkatan dariNYA. Walaupun miskin harta, jiwa dan wajah mereka diselaputi sakinah (ketenangan), mahabbah (cintaNya) dan taqwa.

sumber : www.ummuhani.blogspot.com

Fadhilah Esa
Tahun Akhir Kuliyyah Syariah Islamiah
Universiti Al-Azhar Mansurah
Related Posts with Thumbnails

:: Seuntai Madah ::

Blog

Blog